Tempuh 'macet' lebih tujuh jam untuk beri bantuan kemanusiaan

Last update: 07/01/2019

Daripada Muhammad Afiq Mohd Asri

BANTEN (Indonesia), 7 Jan (Bernama) -- Selepas lebih tujuh jam menempuh ‘macet’ atau kesesakan lalu lintas, di sekitar daerah Pandeglang menuju ke Sumur dan Labuan, bagi memberi bantuan keperluan asas kepada mangsa tsunami, pasukan sukarelawan Global Peace Mission (GPM) Malaysia selamat tiba di posko (pusat bantuan) transit Kampung Tangkil Sari, di sini. 

Kampung berkenaan berfungsi sebagai posko perantara tempat mengagihkan bekalan bantuan antara kedua-dua daerah yang terjejas itu.

Dalam misi kali ini, GPM yang diketuai Syahrir Azfar Saleh dan seorang lagi anggota Amirul Asraf Mat Arif disertai tiga wakil Bernama iaitu wartawan Muhammad Afiq Mohd Asri, wartawan Bernama News Channel Siti Zanariah Nor Zin serta jurukamera Mohammad Hafiz Ahmad Kamal bergerak dari Pandeglang sekitar 5.40 petang semalam (waktu tempatan) dan tiba di kampung berkenaan pada kira-kira 1 pagi.

Stok barang yang terhad antara cabaran yang dihadapi ketika mencari  barang keperluan asas di Pandeglang, sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 100 kilometer dari pusat bandar Jakarta. 

"Kami berdepan cabaran macet yang teruk dan kesukaran mendapatkan barang asas kerana bekalan masih terhad menyebabkan kami terpaksa pergi dari satu gudang ke gudang lain untuk mendapatkan bekalan,” kata Syahrir. 

Antara keperluan yang sempat dibeli termasuk kasut sekolah, pakaian seragam sekolah serta keperluan asas seperti lampin pakai buang, tuala wanita dan sembako (bahasa tempatan yang merujuk kepada barangan keperluan asas penduduk seperti beras, gula, minyak masak, susu, daging, telur ayam selain bekalan air bersih).

Selesai membeli kesemua keperluan asas di Pandeglang, dua buah kenderaan yang dinaiki wakil Bernama dan GPM terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas yang agak teruk sebelum tiba di Kampung Tangkil Sari awal pagi ini.

Berdasar jadual, anggota misi akan membungkus barang-barang keperluan asas yang dibeli untuk diagihkan kepada mangsa tsunami sebelum perjalanan diteruskan ke Sumur dan Labuan tengah hari ini.

Misi ini dijangka berlangsung sehingga 24 Jan ini dan orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui talian www.billplz.com/peduliselatsunda atau deposit ke Bank Global Peace Mission di akaun Maybank Islamic (5642-2161-1602); Bank Islam (1402-30100-29224); dan Affin Islamic Bank (1051-9000-2871).

Tsunami, yang melanda Selat Sunda pada 22 Dis lepas, berlaku ekoran pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan Gunung Anak Krakatau yang diikuti gombang air pasang serta gelombang kuat.

Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) melaporkan sehingga kini lebih 400 orang maut manakala 30,000 hilang tempat tinggal.

-- BERNAMA