Bernama sampai sumbangan kepada keluarga Allahyarham Muhammad Ariffin

Last update: 04/01/2019

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini menyampaikan sumbangan kepada keluarga jurukamera Bernama News Channel (BNC), Allahyarham Muhammad Ariffin, 62, yang meninggal dunia akibat penyakit pneumonia pada 30 Dis lepas. 

Sumbangan wang  berjumlah RM5,550 itu disampaikan Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang kepada anak kedua Allahyarham, Faizal Muhammad, 30, yang mewakili ibunya, Hatipah Manap, 57, yang kini menetap di Taiping, Perak. 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nurini Kassim, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab serta Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Pentadbiran Azeman Ariffin.

"Sumbangan tersebut adalah sebagai tanda penghargaan pihak Bernama terhadap jasa dan bakti Allahyarham sepanjang lebih 10 tahun berkhidmat dengan agensi ini. Kami juga akan membantu menguruskan tuntutan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Allahyarham," katanya pada majlis penyerahan sumbangan di Wisma Bernama di sini hari ini. 

Sementara itu, Faizal berkata beliau berterima kasih kepada pihak pengurusan Bernama yang prihatin dalam memberi bantuan kepada keluarganya selepas kematian ayahnya. 

"Saya mewakili keluarga turut memohon maaf bagi pihak Allahyarham sekiranya dia pernah melakukan kesilapan dan andai dia ada berhutang kepada sesiapa, kami mohon pihak tersebut tampil untuk menyelesaikan urusan tersebut," katanya.

-- BERNAMA

.
.
.....