Hakisan Pantai Mek Mas Igauan Ngeri Penduduk

Last update: 05/12/2018

Oleh Mohd Fakri Awang Lah dan Rohaiza Ab Rahman

KOTA BHARU (Bernama) -- Deruan ombak Laut China Selatan setiap kali menjelang musim tengkujuh sentiasa menjadi igauan ngeri kepada kira-kira 500 penduduk yang tinggal di pesisir pantai Mek Mas termasuk Pulau Kundur yang terletak sekitar 12 kilometer dari bandar ini.

Apa lagi bagi sebahagian daripada mereka pernah berdepan detik cemas beberapa tahun lepas melihat sendiri kediaman musnah akibat pukulan ombak tanpa mampu berbuat apa-apa. 

Walaupun menyedari keadaan sama mungkin berulang, mereka tiada pilihan lain melainkan terus menetap di kediaman sama yang menjadi tempat tinggal mereka sejak turun temurun.

Fenomena hakisan pantai akibat ombak besar di musim tengkujuh yang lazimnya berlaku sepanjang Oktober hingga Mac tahun berikutnya bukan hanya menyebabkan penempatan penduduk pesisir pantai terjejas teruk malah ada juga kediaman yang "lesap" terus dibawa arus ombak.

Antara kawasan yang sering terjejas teruk adalah penempatan di sepanjang  pantai Mek Mas.

FENOMENA AIR PASANG

Seorang penduduk, Isa Hasan, 65, berkata fenomena air pasang besar yang berlaku pada Disember 2014 sentiasa bermain di fikirannya apabila rumahnya yang berada kira-kira lima meter daripada pantai, dimasuki air.

"Sejak daripada itu, tiap kali musim tengkujuh bermula, penduduk di sini sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana air pasang besar boleh berlaku terutama pada waktu malam.

"Saya kerugian ribuan ringgit apabila beberapa barangan elektrik di ruang dapur rumah rosak selepas banjir separas peha melanda berikutan fenomena itu," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya baru-baru ini.

Bapa kepada 18 orang anak itu berkata kali terakhir fenomena air pasang besar berlaku pada Januari lepas dan beliau bersyukur kerana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan membina benteng sementara bagi mengurangkan kesan hakisan pantai.

Berkongsi nasib yang sama, Abdul Aziz Mamat, 63, berkata sekitar tahun 1970an, pantai masih berada jauh daripada rumahnya namun hakisan pantai yang terus berlaku menyebabkan rumahnya semakin dekat dengan pesisir pantai iaitu lebih kurang 10 meter. 

AIR PASANG PUNCA BANJIR

"Ketika air pasang besar berlaku, ombak sangat tinggi lebih kurang 3 meter sehingga memasuki kawasan perkampungan ini dan menyebabkan banjir.

"Walaupun ia berlaku dua atau tiga jam sahaja, namun penduduk bimbang kerana apa sahaja boleh berlaku ketika berlaku air pasang dan ombak besar," katanya.

Beliau berkata rumah yang didiaminya seakan-akan berlaku gempa bumi apabila ombak menghempas pantai terutama ketika fenomena air pasang besar dan menyebabkan penduduk tidak lena tidur malam.

"Hakisan pantai yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan menyebabkan beberapa rumah yang dibina di pesisir pantai 'hilang' ditimbus pasir sehinggakan penduduk menanggung kerugian ribuan ringgit," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPS Kelantan Kamal Mustapha berkata berdasarkan Kajian Hakisan Pantai Negara (NCES) pada tahun 2015, ombak besar antara 2.5  hingga 3.5 meter berlaku ketika musim tengkujuh monsun di Pantai Mek Mas.

HAKISAN TERUK

Menurut beliau fenomena itu menyebabkan berlaku hakisan antara 10 hingga 18 meter di sepanjang dua kilometer pesisir pantai terbabit.

"Akibatnya penempatan kira-kira 500 orang yang terdiri daripada golongan nelayan dan berpendapatan rendah di kawasan tersebut terjejas selain memberi kesan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Kundor dan sebuah tapak balai cerap," katanya.

Beliau berkata ekoran hakisan yang berlaku boleh mengancam keselamatan penduduk setempat, JPS melaksanakan kerja-kerja darurat pencegahan hakisan pada 2016 dan 2017.

Langkah berkenaan dilihat sebagai inisiatif segera JPS Kelantan sementara mendapatkan peruntukan susulan lain daripada kerajaan persekutuan.

Kamal berkata kerisauan penduduk sepanjang pantai Mek Mas dijangka berakhir apabila kerajaan persekutuan meluluskan projek Mencegah Hakisan Pantai Mek Mas di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11). Tender untuk projek ini dijangka dibuka pada awal 2019

LANGKAH PENCEGAHAN

Menurut Kamal, projek mencegah hakisan itu merangkumi pembinaan lapis lindung sepanjang 2.75 km dengan ketinggian empat meter, pembinaan 'groin' serta penambakan pasir dengan peruntukan berjumlah RM18 juta.

"Kerja-kerja pembinaan projek ini dijadualkan bermula pada Mei 2019 dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun," katanya.

Beliau menambah projek pencegahan hakisan itu diharap memberi kelegaan kepada semua penduduk yang selama ini tidak dapat "tidur lena" tatkala ombak besar membadai penempatan mereka antara bulan Oktober hingga Mac saban tahun.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA