Nur Syamimi tabah hadapi cabaran di Poland

Last update: 03/12/2018

Daripada Adnan Jahaya

LODZ (Poland), 3 Dis (Bernama) -- Nur Syamimi Mohamad Suhaimi mungkin sama seperti ribuan pelajar Malaysia yang merantau mencari ilmu namun beliau tetap memiliki kekuatan tersendiri di Poland.

Berasal dari Kampung Bunga Emas, Perlis, pelajar perubatan berusia 23 tahun itu adalah satu-satunya pelajar Malaysia beragama Islam di Medical University of Lodz (MUL) yang terletak di tengah negara Poland.

Bagaimanapun, gadis bertubuh kecil itu mengakui bahawa beliau mempunyai kekuatan tersendiri dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran ilmu dan kehidupan di rantau orang yang cuaca dan budayanya tidak sama seperti di Malaysia.

Menceritakan detik awalnya ke situ, beliau berkata agak sukar untuk menyesuaikan diri pada peringkat awal kerana segala-galanya dirasakan baharu namun selepas menuntut di sini, beliau bersyukur kerana kehidupannya sebagai umat Islam tidak dipandang serong.

Nur Syamimi berkata, beliau kini kian selesa dan tidak pernah merasa terasing daripada penuntut lain universiti itu apatah lagi terdapat pelajar Malaysia lain yang berbilang kaum.

“Kami seperti bersaudara dan saling menghormati walaupun berbeza kaum dan agama kerana yang penting kami bawa budaya Malaysia yang harmoni,” katanya ketika ditemui Bernama di Lodz baru-baru ini.

Ditanya mengapa beliau memilih Lodz sebagai lokasi pengajian, Nur Syamimi berkata kos sara hidup di situ adalah murah begitu juga dengan kos pengajiannya selama enam tahun.

Beliau kini mengikuti pengajian tahun pertama dan akan berada di situ selama lima tahun lagi sebelum membawa pulang ijazah.

Nur Syamimi berkata, beliau belajar di universiti itu dengan biaya keluarganya dan bersyukur dengan pengorbanan kesemua anggota keluarga yang menyokongnya.

“Saya ingin menjadi seorang doktor dan saya telah memilih universiti yang sesuai dengan kos pengajian  yang lebih wajar iaitu sekitar RM300,000.

Nur Syamimi juga berterima kasih kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang menghulurkan sumbangan kepadanya baru-baru ini.

Beliau teruja kerana Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Pengerusi YTSP dan Yang Dipertua MAIPs begitu prihatin dengan pelajar sepertinya dan singgah menghulurkan sumbangan.

Nur Syamimi berkata, beliau turut berusaha mencari pendapatan sendiri selain memastikan pengajiannya tidak terjejas termasuk menjual makanan Malaysia.

“Saya membekalkan makanan kepada rakyat Malaysia yang berurusan di Lodz atau mana-mana pihak yang inginkan masakan Malaysia.

Beliau berkebolehan menyediakan nasi lemak, makanan bergoreng dan kuih-muih Malaysia.

Sementara itu delegasi Jelajah Ilmu UniMAP ke-14 ke Poland turut berkongsi pengalaman dengan pelajar itu dan mereka turut berpeluang menikmati bihun goreng bersambal yang disediakan olehnya untuk sarapan.

-- BERNAMA