Wanita Dan Gaya Hidup Sihat: Kerjaya Dan Keluarga Bukan Lagi Alasan

Last update: 28/11/2018

Oleh Murni Nasri

KUALA LUMPUR, (Bernama) – Pada bulan September yang lalu, Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan bahawa satu daripada dua rakyat Malaysia mengalami masalah berat berlebihan dan obesiti melalui tinjauan tahunan oleh Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan.

Beliau berkata tinjauan itu mendapati sebanyak 17.5 peratus rakyat negara ini dikesan menghidap diabetes, 30.3 peratus menghidap  hipertensi dan 47.7 peratus pula mempunyai paras kolesterol darah yang tinggi.

Ini adalah kebenaran ngeri yang perlu dihadapi oleh semua pihak dan menunjukkan betapa ‘sakitnya’ rakyat Malaysia.

Dan penulis juga tergolong di dalam statistik ini.

Walaupun masih belum dikesan mengalami diabetes atau mempunyai paras kolestrol darah yang tinggi, pada awal tahun ini beliau telah diberi amaran bahawa paras tekanan darahnya berada di tahap ‘borderline’.

PERMULAAN YANG BERDIKIT-DIKIT

Di dalam laporan yang sama, Dr Dzulkefly juga menyebut bahawa masalah kegemukan dan obesiti yang dialami oleh rakyat negara ini berpunca daripada beberapa faktor termasuklah ketidakseimbangan pengambilan dan penggunaan tenaga harian, pemakanan ibu semasa mengandung dan amalan penyusuan susu ibu serta corak pemakanan kanak-kanak yang dipengaruhi oleh ibu bapa dan persekitaran.

Ibu bapa semestinya perlu menunjukkan teladan yang baik untuk diikuti oleh anak-anak dan menyedari selama ini beliau telah menunjukkan contoh yang tidak sihat kepada anaknya, penulis mengambil keputusan untuk tidak lagi memberikan alasan.

Kembara menuju alam sihat bermula pada bulan Julai tahun 2017 dengan ‘berjalan’ iaitu melakukan aktiviti ‘brisk walk’  pada awal pagi, mendaki bukit berhampiran kediaman penulis sebelum masuk bekerja.

Selepas beberapa bulan melakukan aktiviti ini, terdapat perubahan yang agak ketara dari segi peningkatan stamina dan kekuatan kaki yang dialami penulis, namun, penurunan berat badan tidaklah memberangsangkan. Untuk rekod, penulis berusia awal 40-an.

Disebabkan perkara ini, penulis mengambil satu lagi keputusan drastik: berhenti mengambil air dan makanan bergula serta makanan terproses.

PROGRAM PELANGSINGAN DAN KECERGASAN

Mengambil saranan Garis Panduan Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia, penulis juga mula mengamalkan pengambilan makanan harian suku suku separuh bermula pada bulan November 2017.

Sebulan kemudian, berat badan yang seperti enggan turun sebelum itu mula berkurangan sedikit dan ‘kejayaan’ kecil ini menjadi pembakar semangat kepada penulis untuk meneruskan perjuangan dalam memerangi obesiti.

Penghujung bulan Julai 2018, penulis berjaya mengurangkan berat sebanyak lapan kilogram dengan rutin senaman berjalan kaki sehingga 10km setiap hujung minggu, menolak minuman dan makanan  bergula serta mempraktikkan pengambilan makanan suku suku separuh.

Lapan kilogram yang meniupkan semangat untuk meneruskan perjuangan membawa kepada keputusan untuk menyertai program pelangsingan dan kecergasan selama enam minggu.

Melalui bimbingan dan tunjuk ajar jurulatih di dalam program ini, penulis mulai mendalami tentang penyediaan makanan seimbang dan senaman yang betul serta pelbagai.

PERATURAN 80/20

Program ini dijalankan di seluruh Malaysia secara serentak bermula pada 8 September.

Setiap kawasan dipimpin oleh seorang jurulatih yang terlatih di dalam bidang kecergasan dan pemakanan dan mempunyai peserta tidak melebihi daripada 40 orang.

Perkara utama yang perlu diikuti setiap peserta program ini adalah peraturan 80/20, iaitu penurunan berat badan hanya akan berlaku jika peserta ambil tahu apa yang mereka makan (80 peratus) dan senaman yang betul (20 peratus).

Jurulatih memberikan cadangan dan saranan pemakanan seimbang dan para peserta perlu melaporkan hidangan yang diambil pada setiap masa makan melalui aplikasi Whatsapp untuk beliau ulas, didik dan berikan cadangan.

Jurulatih kawasan yang disertai penulis, Hasfarinar Hashim, sentiasa memberikan ulasan dan cadangan yang membina serta  sangat mudah diikuti dan diamalkan secara berterusan.

Kumpulan penulis juga bertemu dua atau tiga kali seminggu bagi melakukan senaman secara bersama dibawah bimbingan beliau.

DULU OBES KINI JURULATIH KECERGASAN

Hasfarinar, 40, yang lebih mesra dengan panggilan Kakcik, pernah memegang ‘gelaran’ obes empat tahun yang lalu.

Pada ketinggian hanya 149cm, berat beliau mencecah sehingga 76kg selepas melahirkan anak ketiga.

“Kakcik selalu keluar bekerja di luar kawasan dan suatu hari, pegawai atasan yang bekerja bersama-sama telah menegur kegemukan Kakcik, menyebabkan Kakcik rasa sangat tercabar,” kata Hasfarinar.

Hasfarinar mula berusaha mendapatkan maklumat untuk melakukan diet melalui carian internet dan dengan ilmu baharu yang diperolehi beliau berjaya mengurangkan berat badan sehingga mencapai angka 58kg.

“Badan memang kurus pada waktu itu, tetapi badan lembik tidak bertenaga kerana semasa berdiet, Kakcik tinggalkan nasi dan makanan karbohidrat yang lain serta langsung tidak melakukan senaman,” tambahnya.

Hasfarinar berkata beliau memulakan pencarian program untuk memantapkan lagi kekuatan  tubuhnya yang membawa beliau mengenali sebuah program kecergasan yang dipelopori oleh jurulatih kecergasan selebriti, Kevin Zahari.

Ini yang menjadi titik tolak kepada penglibatan Hasfarinar sebagai jurulatih di dalam program seumpama ini.

Setelah memperolehi ilmu pemakanan yang memfokus kepada ‘makanan sebenar’ dan kepelbagaian senaman yang diajarkan di dalam program tersebut, Hasfarinar mula merasakan perlu untuknya berkongsi ilmu itu dengan wanita-wanita lain, khususnya para ibu yang seringkali menjadikan masa sebagai halangan untuk mereka menjalani hidup yang sihat dan aktif.

“Mendengar keluhan rakan-rakan yang sudah berkeluarga, Kakcik terpanggil untuk memantapkan  diri lagi dengan ilmu kecergasan dan pemakanan, dengan niat untuk berkongsi dengan mereka.  Kakcik juga seorang ibu, dengan tiga orang anak dan berkerjaya seperti mereka, jadinya kami dalam situasi yang sama dan dengan pengalaman ini Kakcik harap dapat membantu mereka untuk menjadi sihat,” katanya.

PRODUK KURUS TIDAK MEMBANTU

Buat para peserta program kecergasan yang diketuai oleh Hasfarinar, rata-ratanya mengatakan ilmu yang dikongsikan telah merubah perspektif dan gaya hidup mereka secara total untuk menjadi lebih sihat dan bahagia.

“Dulu pernah cuba bermacam-macam produk untuk kurus, memang boleh kurus, tetapi selepas berhenti menggunakannya berat badan naik balik,” kata Yazmalini Mohd Yusof, 42, salah seorang peserta program.

Menerusi program kecergasan ini, Yazmalini mempelajari tentang jenis makanan yang boleh dimakan dan yang perlu dielakkan, kesannya beliau berjaya menurunkan sebanyak 5kg.

Pencapaian terbesar ibu kepada lima orang ini adalah apabila berjaya memakai pakaian milik anak sulungnya yang berusia 20-an.

Tidak dinafikan, wanita  yang cuba menguruskan badan memang akan senang terpengaruh dengan  produk-produk yang menjanjikan bulan dan bintang kepada mereka, tetapi akhirnya hajat tidak kesampaian.

Seperti Yazmalini, Nur Aisyaa Abdullah, 37, juga pernah tertipu dengan penggunaan produk kurus sebelum menemui program ini.

Menurut Nur Aisyaa, pada awalnya beliau sukar memperuntukkan masa bagi melakukan senaman dan aktiviti, namun atas sokongan jurulatih dan keinginan untuk mendapat berat badan yang ideal, beliau berjaya mengatasinya.

Nur Aisyaa setakat ini sudah berjaya mengurangkan 3.8kg dan masih meneruskan perjuangan bagi mendapatkan berat badan yang sihat.

PERUBAHAN POSITIF

Bagi Shazatul Nisha Ibrahim, 44, mendengarkan berita dan statistik yang menunjukkan yang ramai rakyat Malaysia mengidap penyakit-penyakit kronik tanpa mengira umur adalah sesuatu yang menakutkan dan ini menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk menyertai program seumpama ini.

“Keluarga saya sendiri mempunyai sejarah penyakit seperti ini, arwah bapa menghidap peyakit jantung, arwah emak pula ada masalah tekanan darah rendah dan diabetes, jadi saya menyertai program ini bagi mengelak penyakit-penyakit itu,” katanya.

Walaupun semasa ditemubual, Shazatul Nisha baru dua minggu menyertai program, ilmu pemakanan dan senaman yang diajar dan dipraktiskan ternyata meninggalkan kesan yang baik terhadap tubuhnya yang mana beliau berasa lebih segar dan bertenaga.

Bagi Nur Izlin Mohd Saire, 33, perubahan besar yang beliau alami selepas beberapa minggu mengikuti program kecergasan ini selain berat badan yang semakin berkurangan sebanyak hampir 5kg, beliau juga lebih memahami jenis pemakanan yang diperlukan oleh tubuh untuk menjadi lebih sihat.

Nur Izlin yang dikenali sebagai ‘Miss Calorie’ dalam kalangan rakan-rakan di pejabat, sudah mulai bijak memilih makanan apa yang perlu diambil dan apa yang perlu dielakkan.

Menurut Nur Izlin yang merupakan seorang ibu tunggal, program pelangsingan badan dan kecergasan ini juga memberi kesan yang positif terhadap dirinya secara emosi, beliau kini lebih yakin dengan diri, lebih kuat dan secara keseluruhan beliau merasakan kehidupan lebih penuh bermakna.

SOKONGAN KELUARGA

Bagi Norhidayah Rahman, 31, teguran rakan-rakan yang beranggapan beliau sedang hamil, menjadikan penyebab utama beliau menyertai program ini.

Melalui program kecergasan ini, Nurhidayah berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 7kg dan sedang berusaha untuk mencapai berat badan idealnya.

Nurhidayah  mengakui kerjasama pasangan adalah antara faktor kejayaan beliau menurunkan berat badan.

“Sebenarnya, sebagai seorang yang berkeluarga dan berkerjaya, kerjasama dan sokongan pasangan adalah sangat penting memandangkan saya mempunyai anak yang masih kecil,” kata ibu kepada dua orang anak ini.

Sepanjang program berlangsung, suami Nurhidayah mengambil alih tanggungjawab menjaga anak-anak mereka dan sanggup menunggu di dalam kereta sehingga berakhirnya sesi senaman.

Jika Nurhidayah mendapat sokongan daripada suami beliau, lain pula kisahnya dengan Barathy Muthusamy Kaundan, 41.

Baharathy terpaksa merahsiakan penyertaan beliau di dalam program ini daripada pengetahuan ibu bapanya memandangkan mereka masih berfikiran konservatif iaitu wanita yang sudah berkahwin  tugasnya adalah menjaga anak di rumah.

Namun, cabaran ini tidak mematahkan semangat Barathy untuk meneruskan perjuangan di dalam program ini bagi mendapatkan bentuk badan idaman.

“Dalam program ini bukan sahaja saya boleh menurunkan berat badan, tetapi saya banyak belajar dan memperbaiki diri terutama dari aspek displin diri dan pengurusan masa.

“Menyertai program ini agak sukar memandangkan keluarga tidak memberikan sokongan dan saya sendiri berkeluarga dan berkerjaya, tetapi itulah pengorbanan yang perlu dibuat,” kata ibu kepada seorang anak ini.

PROGRAM BERMANFAAT UNTUK KEHIDUPAN SIHAT

Semasa merasmikan sambutan Hari Jantung Sedunia peringkat Pusat Perubatan Universiti Malaya 2018 baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihatkan rakyat supaya mengambil langkah pencegahan dari segi perubahan gaya hidup kepada yang lebih sihat memandangkan purata umur pesakit jantung koronari di Malaysia iaitu 59 tahun adalah jauh lebih muda berbanding negara maju.

Rakyat Malaysia yang berusia lima hingga enam tahun lebih muda daripada rakyat di negara maju sudah dikesan mengalami serangan jantung koronari, yang merupakan jenis penyakit jantung yang paling kerap dihidapi masyarakat Malaysia.

Statistik yang diperolehi ini dan juga perangkaan daripada tinjauan tahunan oleh Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan tidak boleh lagi dipandang sepi.

Rakyat Malaysia perlu berhenti hidup di dalam penafian.

Adanya program-program pelangsingan dan kecergasan yang dijalankan oleh pelbagai pihak ini, kita sebenarnya sudah kehabisan alasan.

Buat keputusan. Rancang. Bertindak.

Sungguh benar pepatah pujangga, hendak seribu daya…

--BERNAMA