Undang-undang persaingan diperkenal dalam silibus UUM

Last update: 28/11/2018

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini dalam usaha memberi pendedahan mengenai Undang-Undang Persaingan kepada umum.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata menerusi MoU itu, UUM bersedia memperkenalkan undang-undang itu sebagai topik baharu di dalam silibus pembelajaran di universiti berkenaan.

"Kementerian percaya institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya UUM mempunyai kemampuan menjadi agen advokasi untuk memperluaskan fahaman undang-undang ini kepada masyarakat dan mahasiswa,

"Ini adalah satu detik yang bersejarah dalam kewujudan MyCC kerana kerjasama ini mampu mengembang dan mengetengahkan isu berhubung undang-undang berkenaan kepada umum," katanya pada sidang media pada majlis pemeteraian MoU itu.  

Turut hadir, Pengerusi MyCC Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus, Naib Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor dan wakil UUM Prof Dr Muhammad Fuad Othman.

-- BERNAMA