Pelawak Accapan meninggal dunia

Last update: 14/09/2018

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Pelakon dan pelawak terkenal Accapan atau nama sebenarnya Samynathan Rethinam, 63, meninggal dunia awal pagi ini.

Menurut anak bongsu mendiang, Yhuveneshwary, bapanya menghembuskan nafas yang terakhir pukul 2.43 pagi di rumahnya akibat kegagalan buah pinggang, di hadapan keluarga.

Yhuveneshwary berkata, upacara penghormatan terakhir akan dilakukan di rumahnya kira-kira 3.00 petang ini di Taman Puchong Utama, Selangor. 

Accapan meninggalkan seorang isteri Yogeswari Subramaniam, 53, dan tiga anak Vikneshwaran Samynathan, 31, Dhineshwaran Samynathan, 28, dan Yhuveneshwary Samynathan, 24 tahun.

Beliau banyak berlakon dalam drama dan filem tempatan dengan pelbagai watak yang mencuit hati penonton serta meninggalkan kesan kepada penonton.

Pasti peminat akan merindui telatah mendiang dalam sitkom popular ‘Santan Berlada’ pada tahun 80-an bersama Ali Mamak dan Khairul Azhar.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Seniman Hafiz Nafiah berkata seluruh Kepimpinan Tertinggi dan Exco Seniman Malaysia serta Ahli-Ahli Seniman mengucapkan salam takziah kepada keluarga mendiang.

-- BERNAMA