Channel W - Wajah Baharu Capital TV

Last update: 11/07/2018

Oleh Farah Nadhira Zairi

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Capital TV, yang beroperasi sejak 2011 kini berwajah baharu dan dikenali sebagai Channel W selepas penggabungannya dengan akhbar Warta.

Channel W menyediakan program menarik secara siaran langsung termasuk informasi terkini merentasi pelbagai topik perbincangan, sosial, politik, hiburan, dunia perniagaan, kewangan serta bursa saham Malaysia dan seluruh dunia.

Menurut Pengerusi Online Dynamics Sdn Bhd Datuk Kapten Ahmad Sufian, syarikatnya telah mendapat lesen penyiaran sebagai stesen tv daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Mac lepas.

"Dengan lesen ini, kami boleh menjadi stesen TV umum seperti stesen TV RTM, TV3 dan sebagainya," katanya pada majlis pelancaran Channel W di Menara PNS, Bangsar South City Isnin lalu.

Channel W yang boleh ditonton di unifi TV oleh pelanggan di saluran 634 tanpa bayaran tambahan, akan memaparkan beberapa segmen menarik antaranya Inspirasi, Capital News, Relax@W dan Studio Malam. Ia disiarkan bermula jam 5 petang hingga 11 malam dan akan diawalkan pada jam 8 pagi pada masa akan datang.

Antara hos yang diperkenalkan, Inspirasi bersama Sysya Jamal,Capital News bersama Trushna Patel, Relax@W bersama Puteri Nurashiquin dan Studio Malam Fitri Hazim dan Madeehah Nazneen.

SLOT FILEM SERAM

Bermula Julai ini, Channel W akan membawakan slot filem seram dan penuh misteri yang popular dari beberapa buah negara. Antara filem yang tersenarai termasuk Haunted Hospital, siri cerita seram dari negara Jepun, serta Grey Zone, drama bersiri dari Sweden.

Menariknya adalah semua siri seram ini belum ditayangkan di mana-mana stesen tv tempatan dalam negara dan ianya pertama ditayangkan di Channel W. Channel W kini boleh disaksikan di saluran MYTV Broadcasting.

Ketua Pegawai Eksekutif MYTV, Michael Chan berkata Channel W adalah satu lagi program menarik yang akan dimuatkan dalam platform MYTV ke myFreeview dan syarikat juga mengalu-alukan lebih banyak siaran percuma stesen tv di Malaysia dapat menyertai MYTV.

Ia bersesuaian dengan tujuan asal penubuhan MYTV yang mahu menyediakan platform siaran tv percuma yang menarik kepada rakyat, katanya.Kini transmisi MYTV telah mencapai 93 peratus di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA