Orang Diparol Temui Penonton Mulai Esok

Last update: 12/04/2018

Oleh Mohammad Johari Yaakob

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Rancangan baharu TV AlHijrah "Orang Diparol" (ODP) bakal menemui penonton bermula esok.

ODP merupakan program bual bicara yang diterbitkan oleh TV AlHijrah dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Telekom Malaysia (TM).

Buat pertama kalinya TV AlHijrah menunjukkan kejayaan sistem Parol yang diamalkan oleh pihak berkuasa dalam mengurangkan kadar jenayah berulang di Malaysia, menurut kenyataan yang dikeluarkan.

Melalui rancangan ini, masyarakat boleh melihat modal insan yang dapat dibentuk atas kesedaran daripada kesilapan masa lalu serta mengubah persepsi dan mendidik masyarakat untuk menerima banduan dan memberi peluang kepada bekas banduan meneruskan kehidupan di luar penjara.

Rancangan bual bicara sebanyak lapan episod ini akan dikemudikan oleh Ustaz Dr. Farid Ravi dan akan ditemani oleh ODP serta tetamu khas bagi mengupas kejayaan sistem parol yang diamalkan serta menyuntik emosi dan memberi inspirasi kepada penonton melalui kisah realiti ini.

ODP akan bersiaran pada setiap hari Jumaat, jam 9 malam dengan topik-topik yang menarik.

Selain rancangan ODP, sepanjang April ini juga penonton TV ALHijrah juga disajikan dengan rancangan menarik serta sarat dengan ilmu seperti Dakwah Live, Mai Ngaji dan Ustaz Pilot.

--BERNAMA