Tayangan Perdana Chong Wei Dapat Sambutan Hangat

Last update: 13/03/2018

Oleh Mohammad Johari Yaakob

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Tayangan Perdana 'Lee Chong Wei Rise Of The Legend' telah mendapat sambutan hangat dan ditonton oleh 20,000 peminat Datuk Wira Lee Chong Wei di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.

Pelakon utama, Tosh Chan yang memegang watak kisah kehidupan pemain badminton kebangsaan Lee Chong Wei dalam filem itu, merasakan bahawa filem itu sendiri mempunyai cara tersendiri untuk membuatnya bermotivasi dan tidak berputus asa dengan mudah.

"Filem ini mengajar kita nilai-nilai yang baik dari seseorang, dan itu adalah satu penghormatan bagi saya diberi kesempatan untuk memainkan watak utama sebagai Lee Chong Wei, yang penentuannya juga memberikan saya inspirasi untuk memberikan yang terbaik ketika memainkan wataknya," kata Chan, pada tayangan perdana dunia di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini Jumaat lalu.

Pelakon berusia 51 tahun, Datuk Rosyam Nor, yang memegang watak Datuk Misbun Sidek berkata beliau juga banyak membuat kajian tersendiri untuk menyelami watak Misbun dengan berkesan baik daripada mimik muka, gaya percakapan dan sebagainya.

Filem arahan Teng Bee ini adalah filem pertama yang telah berjaya masuk ke Asia Book of Records dan juga Malaysia Book of Records sebagai tayangan perdana filem terbesar bukan sahaja di Malaysia malah juga di Asia.

PAWAGAM MEGA

Pihak penganjur iaitu CB Pictures dan SKY Events dengan kerjasama MAHU Pictures telah mengubah Stadium Nasional Bukit Jalil kepada pawagam mega dengan binaan 40 meter x 17 meter skrin LED untuk tayangan perdana pada malam tersebut.

Chong Wei menghadiri tayangan perdana tersebut bersama keluarga, Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Seri Norza Zakaria dan juga 20,000 penonton untuk menyaksikan tayangan perdana filem tersebut.

Bagi membangkitkan semangat kebangsaan, tayangan perdana tersebut dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan iatu lagu ‘Negaraku´ sebelum tayangan mula dimainkan.

Peminat boleh menonton filem 110-minit di pawagam Golden Screen Cinema (GSC) seluruh negara mulai 15 Mac, dan ia juga akan ditayangkan di Singapura, China, Macau, Hong Kong dan Taiwan.

-- BERNAMA