'Cabaran Pulau Indah 180' Mampu Disenarai Dalam Kalendar Sukan Negara

Last update: 11/01/2018

PELABUHAN KLANG, 11 Jan (Bernama) -- Sambutan luar jangka terhadap edisi ketiga acara berbasikal 'Cabaran Pulau Indah 180 Malaysia 2018' anjuran Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB) pada Ahad ini, dilihat mampu memperkukuh jenama tersebut untuk tersenarai dalam kalendar sukan negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mahmud Abbas berkata walaupun acara itu hanya terhad kepada 1,000 peserta, namun masih banyak penyertaan diterima selepas tarikh tutup pada 10 Dis lepas dan ini menunjukkan program itu semakin berjaya menawan minat pelumba dari dalam dan luar negara.

Menjanjikan aspek keselamatan perlumbaan dan perubatan kecemasan pada standard antarabangsa, beliau berkata peserta terutamanya pelumba baharu bakal memperoleh pelbagai pengalaman berharga sepanjang perlumbaan 180 kilometer itu.

"Pada kali ini, kira-kira 100 pelumba dari lebih 20 negara terlibat antaranya United Kingdom, Australia, Singapura, Brazil, Denmark dan Mongolia. Keyakinan mereka menyokong usaha kami untuk menjadikan acara berbasikal tersebut bertaraf antarabangsa.

"Walaupun CSSB bukan pakar menganjur acara seumpamanya, tetapi kami terus berusaha menambah baik cabaran berbasikal itu supaya terus dilengkapi keperluan setaraf acara antarabangsa dan pelumba khususnya pelumba baharu mendapat kepuasan menyertainya," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Menyifatkan faktor keselamatan adalah aspek terpenting kerana acara sukan berbasikal mempunyai risiko tersendiri, Mahmud menyarankan semua pelumba supaya sentiasa fokus dan mengutamakan keselamatan diri bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kriteria baharu bagi kategori berpasukan yang memerlukan seorang pelumba wanita pada edisi kali ini, beliau memberitahu inisiatif itu adalah untuk menggalakkan lebih ramai kaum hawa terlibat dalam sukan tersebut.

'Mencari pelumba basikal wanita sebenarnya satu cabaran kerana bilangan mereka yang serius agak terhad tetapi kriteria itu nampaknya dipatuhi oleh 30 pasukan terlibat. Hasrat CSSB adalah untuk menarik lebih ramai wanita menyertai sukan seperti ini pada masa depan,” katanya.

Mahmud berkata dalam usaha mengukuhkan jenama 'Cabaran Pulau Indah 180' supaya lebih menarik dan dikenali pada peringkat antarabangsa, CSSB bercadang untuk mengubah laluan dan lokasi penganjurannya pada masa depan.

Langkah itu untuk memberi lebih cabaran kepada peserta terutama pelumba setia acara berkenaan namun standard penganjurannya yang setaraf siri berbasikal 'Le Tour' tetap dikekalkan atau ditambah baik mengikut keperluan.

Mula dianjurkan pada 2016, acara berbasikal 'Cabaran Pulau Indah 180' telah berjaya mengumpulkan lebih 2,000 peserta tempatan dan antarabangsa untuk berlumba sejauh 180 kilometer bermula di ibu pejabat CSSB di Pulau Indah dan mencakupi sebahagian kawasan di Selangor.

Acara yang berobjektif untuk mempromosi projek pembangunan CSSB itu menawarkan hadiah RM40,000 untuk direbut peserta menerusi lima kategori iaitu Terbuka Lelaki (18 hingga 35 tahun), Terbuka Wanita (18 tahun ke atas), Junior Master (35 ke 44 tahun), Master (45 tahun ke atas) dan berpasukan.

-- BERNAMA