CSSB Sasar Cabaran Berbasikal Pulau Indah 180 Bertaraf Antarabangsa

Last update: 10/10/2017

SHAH ALAM, 10 Okt (Bernama) -- Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB) menyasarkan acara berbasikal Cabaran Pulau Indah 180 yang masuk edisi ketiga penganjurannya tahun depan diangkat sebagai sebuah pertandingan bertaraf antarabangsa pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmud Abbas berkata ini kerana penyelarasan acara yang dijadual berlangsung pada 14 Jan itu akan mengikut standard antarabangsa seperti Le Tour de Langkawi (LTdL) bagi membolehkan para peserta merasai pengalaman berlumba seumpama pertandingan berprestij.

Beliau berkata usaha pihaknya itu bukan sahaja untuk terus memupuk dan menarik minat rakyat dalam menjadikan aktiviti riadah seperti berbasikal sebagai satu gaya hidup, tetapi juga mempromosi Selangor dan Malaysia ke persada dunia.

"Saya percaya, sukan berbasikal dapat mengeratkan lagi hubungan kaum di negara kita kerana ketika berbasikal, jika rakan pasukan kita atau rakan sepertandingan hadapi masalah, kita pasti akan bantu siapa sahaja tanpa mengira kaum. Nilai dan semangat sebegini yang mahu kita terapkan serta tonjolkan kepada negara luar.

"Kami menyasarkan acara ini dapat pergi ke peringkat antarabangsa kerana apa yang kami mahu adalah pelumba mencari pengalaman untuk merasai bagaimana perasaan bertanding seperti LTdL atau Le Tour de France," katanya dalam sidang media selepas pelancaran Cabaran Pulau Indah 180 di sini, hari ini.

Mahmud berkata pada edisi perlumbaan ketiga ini, pihaknya bersetuju menetapkan setiap penyertaan kategori berpasukan mesti mempunyai seorang pelumba wanita yang berperanan sebagai pemberi galakan kepada rakan sepasukan lain.

Beliau berkata selain kategori itu, empat kategori lain yang dipertandingkan adalah terbuka lelaki (18-35 tahun), terbuka wanita (18 tahun ke atas), Junior Master (35 ke 44 tahun) dan Master (45 tahun ke atas) bagi merebut hadiah berjumlah RM40,000.

Susulan kejayaan dua edisi pertandingan sebelum ini, CSSB menyasarkan sebanyak 1,000 peserta dari 17 negara menyertai edisi ketiga yang membuka pendaftarannya pada 1 Sept lepas sehingga 1 Dis ini.

Dalam acara berkenaan, peserta memulakan perlumbaan dari ibu pejabat CSSB di Pulau Indah, Pelabuhan Klang menuju ke Morib, Banting serta Sepang sebelum berpatah balik ke pejabat itu, yang meliputi jarak 180 kilometer.

-- BERNAMA