Syamel Dan Izzmad 'Tunjuk Skill' Bola Sepak Jalanan

Last update: 13/09/2017

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Pelantun lagu 'Hidup Dalam Mati' dan kini peserta AF Megastar, Syamel dan penyanyi dan pelakon yang semakin meningkat naik, Izzmad Harun mempamerkan kemahiran bermain bola sepak jalanan baru-baru ini.

Paling istimewa kedua-dua selebriti ini berganding bahu dalam permainan ini dengan lima orang kanak-kanak sekolah tempatan berusia di bawah 12 tahun yang memiliki bakat besar dalam permainan ini.

Selain Syamel dan Izzmad, Zahid AF, Edaman Qanda dan pereka fesyen Fairuz Ramdan turut sama memeriahkan Karnival Inisiatif Peduli Rakyat di Padang Awam Kampung Baru Batu Caves bersama-sama masyarakat sekitar.

Selain bola sepak jalanan, para selebriti ini turut beraksi di dalam permainan sepak takraw.

Manakala, penyampai radio terkenal Kieran pula tampil sebagai hos yang mengendalikan perjalanan karnival ini.

Selain permainan, acara turut diselang-seli dengan info-info berguna berkenaan 38 skim terkandung dalam program ini yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada penduduk.

Para artis yang terlibat mengakui berbesar hati terpilih menjayakan karnival yang meriah ini dan peluang ini juga digunakan sebaik mungkin bagi memperkenalkan lagu terbaharu masing-masing buat peminat.

"Saya bermain bola sepak sebagai cara untuk menjaga kesihatan. Apabila diajak terbabit dengan karnival ini, saya terus bersetuju. Hari ini saya menyaksikan yang karnival ini sangat meriah dan berjaya menarik kehadiran pelbagai golongan daripada yang kecil sehinggalah yang besar," katanya.

Manakala menurut Zahid, pemilihan artis bagi menjayakan karnival ini juga satu tindakan bijak kerana ia mampu menarik kehadiran ramai pengunjung serta mengambil bahagian dalam acara yang diadakan.

Penyanyi dan pelakon, Izzmad pula mengakui sebagai artis baru, beliau berasa teruja apabila dipilih untuk turut bersama rakan-rakan artis lain dan peminat.

"Saya dikira masih baru dan ini peluang terbaik untuk saya mempromosikan diri kepada peminat. Karnival ini dapat mengeratkan hubungan saya dengan semua pihak, kebetulan saya memang suka bermain bola sepak. Syabas kepada penganjur kerana mengambil peluang ini untuk menggalakkan semangat bersukan sambil mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat sekitar," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bersekutu Perhubungan Awam Media dan CSR Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, Mohd Fauzi Mohd Ghazali selaku penganjur berkata, program ini selain menghiburkan anggota masyarakat ia turut bermatlamat menyampaikan pelbagai maklumat dan membantu mereka yang memerlukan.

Ini adalah lokasi kedua karnival selepas Kota Damansara dan program ini akan menjelajah sembilan daerah lagi.

--BERNAMA