UMAR Ringkasan Pencapaian Sistem Pendidikan Tinggi Negara

Last update: 08/09/2017

Oleh Murni Nasri

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Dunia pendidikan tinggi negara mendapat perkhabaran gembira baru-baru ini apabila lima universiti penyelidikan negara mendapat ranking yang baik di dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2018.

Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menempatkan diri dalam ranking 300 badan penarafan universiti terbaik dunia ini.

UM yang menerajui cabaran untuk universiti Malaysia ini berada pada ranking 114, naik 19 anak tangga daripada ranking tahun 2017.

Pencapaian yang amat membanggakan ini menjadi asas keyakinan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang UM akan mampu meletakkan ia di dalam ranking 100 terbaik dunia dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Pada tahun 2013, kedudukan UM adalah pada ranking 167 dan ia terus meningkat setiap tahun. Tahun ini ia naik ke 114 dan dalam masa dua tahun saya jangka ia akan memecah 'barrier' 100 universiti terbaik dunia," kata Idris dalam program temubual BNC Ruang Bicara yang diadakan baru-baru.

Berdasarkan pencapaian kelima-lima universiti ini, Kementerian Pendidikan Tinggi telah mewujudkan satu istilah mudah sebagai panduan kejayaan sistem pendidikan tinggi Malaysia iaitu UMAR.

Menurut Idris, U di dalam akronim UMAR ini merujuk kepada U21 iaitu ranking negara dalam konteks pendidikan tinggi negara.

U21 atau Universitas 21 adalah satu rangkaian universiti-universiti penyelidikan di dunia dan berpangkalan di Melbourne, Australia.

M pula merujuk kepada Universiti Malaya yang saban tahun menunjukkan peningkatan yang berterusan yang mana ia telah melompat sebanyak 53 anak tangga dari tahun 2013 sehingga sekarang.

Manakala huruf A di dalam akronim ini adalah kedudukan universiti-universiti di Malaysia dalam kelompok ASEAN.

"Daripada lapan universiti terbaik di ASEAN, lima daripadanya adalah universiti Malaysia dan ini adalah sesuatu yang patut dibanggakan," kata Idris.

R pula merujuk kepada 'research universities' (universiti penyelidikan) yang mana kelima-lima universiti penyelidikan di Malaysia termasuk di dalam satu peratus universiti terbaik di dunia.

Selain UM, UPM, UKM, UTM dan USM masing-masing mendapat ranking ke-229, 230, 253 dan 264 dalam penarafan QS World University Ranking 2018.

Dalam konteks ASEAN, Idris berkata, kedudukan lima universiti Malaysia di tempat ketiga, keempat, kelima, ketujuh dan kelapan juga membuktikan yang sistem pendidikan tinggi Malaysia adalah dalam landasan yang betul.

-- BERNAMA