Sazali Samad Abang Sado Sebenar

Last update: 05/09/2017

Oleh Suriani Razali

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Mendengar sahaja nama Sazali Samad, pasti satu sosok badan yang gagah, berotot dan sasa akan tergambar di minda.

Beliau yang telah dinobatkan Mr Universe bermula dari tahun 2000 (Melaka - Malaysia) sehinggalah 2014 yang telah berlangsung di Mumbai, India, kini bergiat aktif menjelajah ke setiap negeri untuk memberi ceramah menjaga kesihatan dan kecergasan badan.

Menjadikan Jaguh Bina Badan Asia, Datuk Malek Noor sebagai inspirasi untuknya menceburi sukan bina badan ini, kini Sazali aktif sebagai pelatih peribadi (personal trainer) kepada yang memerlukan khidmatnya.

Berkat usaha gigih selama hampir 30 tahun berkecimpung di dalam arena ini, kini Mr Universe Malaysia ini menuai hasil bagi setiap kejohanan yang disertainya dengan merangkul pelbagai gelaran 'Mr' samada dalam atau pun luar negara.

Berikut petikan temubual eksklusif Bernama WebTV bersama Sazali Abd Samad bapa kepada lima cahayamata ini ketika beliau berkunjung ke Wisma Bernama baru-baru ini.

SAZALI SAMAD ACADEMY

SOALAN: Apakah perkembangan Sazali sekarang?

SAZALI: Setelah bersara awal dari Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) saya bersama beberapa sahabat yang juga merupakan ahli sukan bina badan menubuhkan Akademi Sazali Samad. Akademi ini mempunyai banyak program antaranya Sazali Fitness challenge.

Sazali Fitness challenge merupakan program pengetahuan bagaimana menjaga kecergasan badan. Dengan bayaran sebanyak RM350 anda boleh menyertai program kecergasan ini selama dua bulan (lapan minggu). Setiap sesi perjumpaan akan dilakukan sekali seminggu dan peserta akan diberikan tugasan masing-masing untuk diikuti berdasarkan kemampuan dan kecergasan badan mereka.

Program lain yang sedang berjalan ialah, saya menjelajah ke setiap negeri atas jemputan untuk menyampaikan ceramah, perkongsian tips-tips bagi menjaga kecergasan badan yang optimum.

SOALAN: Apakah syarat-syarat penyertaannya?

SAZALI: Program ini terbuka kepada sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang berumur 14 tahun ke atas, lelaki atau perempuan pun boleh menyertainya.

Program ini juga memfokuskan 'lose fat' bukannya 'lose weight´ dan para jurulatih pula kami lantik yang bertauliah sahaja.

PENGORBANAN UNTUK SADO YANG SEBENAR

Setiap kejayaan pasti menuntut pengorbanan yang ditunjangi dengan kesabaran dan kecekalan yang kuat. Jika kedua-duanya gagal dihadapi, pengorbanan yang dibuat mungkin menjadi sia-sia.

Sazali tidak menafikan sepanjang hampir 30 tahun pembabitan beliau dalam sukan bina badan ini pelbagai pengorbanan yang telah dilalui.

SOALAN: Untuk sampai ke tahap ini, apakah pengorbanan yang telah Sazali lakukan?

SAZALI: Bagi mencapai apa yang saya miliki sekarang, laluannya tidak mudah. Jika disentuh dari aspek pemakanan, saya terpaksa mengorbankan keinginan untuk makan makanan sedap seperti orang lain.

Contohnya ketika hari raya, makanan yang mempunyai lemak dan manis saya hanya mampu memandang kerana tidak mampu menyentuhnya! Semuanya perlu dikawal disebabkan ingin betul-betul menjaga berat badan ideal dan konsisten.

Banyak kekangan dari segi kewangan kerana saya berpendapatan kecil sahaja. Mana nak beli supplement (makan tambahan), mana nak belanja untuk keluarga lagi dan berbagai kos yang perlu ditanggung ketika itu.

Dalam pada itu komitmen kepada keluarga juga terutamanya 'bonding time' berkurangan disebabkan saya banyak menghabiskan masa di pusat-pusat kecergasan untuk memantapkan tahap stamina badan dan juga pembelajaran saya mengenai pengawalan pembinaan otot untuk kekal 'cantik'.

Pendek kata apabila saya diutarakan mengenai pengorbanan ini, masa, tenaga, wang ringgit, samada fizikal atau mental banyak yang dah terkorban sebenarnya.

SOALAN: Dalam keluarga Sazali, ada sesiapa yang mengikut jejak langkah untuk beraksi sebagai Mr. Universe?>

SAZALI: Saya nampak potensi sebagai ahli bina badan ni ada pada anak kedua saya Muhammad Hazim. Buat masa sekarang saya hanya pantau dia dari segi senaman dan pemakanan apa yang sesuai untuk dia sebagai remaja yang berusia 17 tahun.

Hazim mempunyai ciri-ciri berbadan sado seperti saya dan saya berharap jika dia terus serius dalam bidang ini, dia mungkin boleh mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa seperti saya juga. Insya-Allah.

SOALAN: Siapa yang banyak membantu dan memberi sokongan selain keluarga?

SAZALI: Arwah ibu, abang saya Azman dan isteri saya Hashrine Hashim selaku pengurus saya juga. Daripada saya tiada apa-apa hingga saya seperti sekarang, mereka yang banyak memberi sokongan kepada saya ketika jatuh dan bangkit kembali.

PESAN IBU

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Rendah Limpoon 2, Batu Pahat sebelum melanjutkan ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Dato' Bentara Luar, Batu Pahat.

Setelah itu beliau melakukan pelbagai pekerjaan bagi membantu keluarga yang terdiri 11 orang adik beradik dan beliau merupakan anak keempat. Kehidupan dahulu dengan pendapatan bapanya sebagai pemandu teksi menjadikan beliau tidak memilih sebarang pekerjaan asalkan halal.

Sazali memulakan kerjayanya pada tahun 1987, di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Malaysia dengan gaji permulaan RM300. Arwah ibunya juga sentiasa berpesan ketika beliau menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur agar mencari pekerjaan yang baik yang akhirnya beliau mendapat tawaran bekerja dalam pasukan PDRM.

"Tak pe Li, yang penting tetap dan berpencen," pesan arwah ibu beliau.

Pada masa yang sama, Sazali mendaftarkan dirinya sebagai anggota Kelab Gim PDRM, di bawah bimbingan Penolong Penguasa Polis (ASP) Roslan Ahmad. ASP Roslan mengesan bakat Sazali dan menawarkannya untuk menyertai PDRM.

SOALAN: Ketika dipilih sebagai pembawa bendera sewaktu Sukan SEA 2013 apakah perasaan anda ketika itu?

SAZALI: Satu penghormatan untuk diri sendiri dan saya amat berbesar hati kerana dipilih sebagai pembawa bendera ketika itu.

TIPS MUJARAB

SOALAN: Apakah rahsia kejayaan untuk berjaya sebagai Mr Universe?

SAZALI: Rahsianya adalah disiplin, disiplin, disiplin. Tanpa disiplin, walau mempunyai badan dan sosok tubuh yang cantik dan hebat sekalipun jika tak ada disiplin dalam setiap rejim, dia tak akan ke mana.

Keduanya adalah senaman. Senaman dan latihan yang betul memainkan peranan yang cukup baik. Melalui senaman, teknik-teknik latihan yang betul mampu menghasilkan otot-otot yang cantik dan berpotensi besar untuk masuk bertanding.

SOALAN: Bagaimana untuk mengekalkan kecergasan badan selain menjaga bentuk otot? Boleh Sazali kongsikan tips untuk mendapatkan badan yang 'cantik'?

SAZALI: Pemakanan - Perlu tahu apa yang kita makan. Kandungan dalam setiap hidangan kerana kadar pengambilan pemakanan kita perlu mengikut kadar metabolisma badan seseorang. Dahulu pada awal pembabitan saya dalam bidang ini hanya tiga atau empat produk makan tambahan sahaja, tetapi berbeza pada hari ini iaitu lebih 15 produk boleh didapati.

Senaman - Teknik-teknik senaman perlu betul dan berterusan dengan mengikut panduan oleh jurulatih-jurulatih yang bertauliah. Jika tidak pembentukan otot yang cantik akan sukar didapati kerana kesilapan sewaktu melakukan senaman.

Gaya hidup - Hindari dadah, rokok dan tekanan. Sentiasa berfikiran positif kerana jiwa yang tenang akan terzahir pada badan kita melalui kecergasan yang terbaik.

SOALAN: Apakah harapan, impian atau keinginan yang belum terlaksana setakat ini?

SAZALI: Selain impian untuk melihat Sazali Samad Academy ini terus berjaya, saya juga ingin cuba memasuki pertandingan Arnold Schwarzenegger Classic di Amerika. Pertandingan ini memerlukan beberapa kriteria tersendiri dan saya mempunyai kriteria yang diperlukan itu.

SOALAN: Nasihat Sazali untuk menggalakkan golongan muda bagi menceburi sukan bina badan ini?

SAZALI: Dengan slogan Bangkit Bersama, saya menyeru semua anak-anak muda sertai lah apa jua sukan yang diminati, tidak semestinya sukan bina badan sahaja tetapi anda haruslah memberi komitmen yang sepenuhnya untuk mendapatkan hasil yang terbaik bagi satu-satu bidang sukan tersebut.

Jika ingin sertai Sazali Samad Akademi boleh melayari http://www.sazalisamadacademy.my/ untuk keterangan lanjut.

--BERNAMA