Pasaran Luar Negara Idaman Usahawan Wanita

Last update: 09/08/2017

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, (Bernama) -- Selayang pandang, Marziyana Dasron, Orket Abdullah dan Azlinda Kamaruddin tiada jauh bezanya dengan kebanyakan usahawan wanita yang semakin bertambah bilangan mereka di Malaysia.

Namun apa yang tidak kelihatan adalah keazaman dan keberanian mereka untuk meneroka pasaran melangkaui tanah air sendiri bagi memasarkan produk-produk mereka.

Marziyana, Orket dan Azlinda begitu teruja ketika ditemui semasa Majlis Aidilfitri yang dianjurkan oleh WAREIS atau Wirausahawan Rentas Sempadan Singapura Progresif di sini baru-baru ini.

Mereka yang merupakan ahli Pertubuhan Wanita Dalam Perniagaan dan Pemikiran Kreatif Malaysia, PEWANGI telah berusaha mengeluarkan duit poket sendiri untuk hadir ke majlis itu yang berlangsung di Mamanda Restaurant and Agrobazaar Malaysia di Kota Singa ini.

Di majlis itu, mereka berkesempatan mendengar perkongsian pengalaman ahli-ahli perniagaan yang berjaya seperti Datuk Yasran Hussain, pemaju bagi KL Gateway Mall dan Kerinchi Residensi dan Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, pemilik Tanah Aina Resorts selain memperolehi maklumat bagaimana meneroka pasaran Singapura melalui Shamir Rahim, Presiden Singapore Malay Chamber of Commerce and Industry dan Raphy Md Radzi, Pengarah Perbadanan Kemajuan Perdagangan Luar (MATRADE) Wilayah Selatan.

BEDAK SEJUK SCRUB BONDA

Produk bedak sejuk yang diberi nama Scrub Bonda milik Marziyana Dasron telah mendapat tempat di negeri Johor yang mana ia telah banyak digunakan oleh para pengusaha spa di negeri itu.

Pengasas Seri Wajah Bonda Enterprise ini berkata idea untuk menghasilkan Scrub Bonda ini terhasil dek kerana minat beliau yang mendalam dalam bidang kecantikan.

"Kami sekeluarga banyak membaca dan dari situ lah kami berkongsi pendapat untuk mengeluarkan satu produk yang dapat membantu dan merawat segala masalah wajah dari dalaman mahupun luaran," kata Marziana.

Seri Wajah Bonda Enterprise ditubuhkan pada Nov 2014 dan pemiliknya ini menaruh harapan yang tinggi agar perniagaan produk keluaran syarikatnya terus berkembang bukan sahaja di Malaysia dan Singapura malah ke negara lain.

Beliau yang ditemani anak perempuannya mengakui dalam menghadapi dugaan berniaga, sokongan keluarga dan maklumbalas pelanggan yang sangat positif menguatkan lagi rasa keyakinan beliau terhadap potensi Scrub Bonda dan mahu terus memajukan perniagaannya.

SAMBAL BILIS RABAK

Keyakinan yang sama turut dikongsi oleh Orket Abdullah, pengeluar makanan sambal bilis rabak yang berharap produk sedia untuk dimakan ini akan menembusi pasaran global satu masa nanti.

"Buat masa ini, produk sambal rabak ini masih belum cukup syarat untuk ke pasaran itu," kata Orket atau lebih senang dipanggil Iebu.

Beliau yang mula menceburi bidang perniagaan dengan mengusahakan "warong pisang sesikat" di hadapan rumahnya di Kluang, Johor juga merupakan penulis buku resepi "100++ Menu Popular Orang Malaysia".

"Sebenarnya pada tahun 2011 hingga 2013, Iebu sering berkongsi resepi dalam Majalah Rasa. Pada tahun 2016 Iebu diberikan peluang menulis buku resepi sendiri mengikut kemahiran yang dimiliki," jelasnya.

Selain sambal bilis rabak, syarikatnya Orchid Golden De Table mempunyai satu produk yang kini sudah berada di pasaran Malaysia iaitu "Bubur Kacang Hijau Musang King" dan telah melakukan demonstrasi masakan bubur tersebut di Majlis Aidilfitri itu.

AYAM MASAK RENDANG HIJAU

Pemilik Tapah Station Cafe, Azlinda Kamaruddin ini turut mempertaruhkan rangkaian produk makanan sedia untuk dimakan.

Selain Ayam Masak Rendang Hijau, beliau turut mengeluarkan produk seperti Sambal Ayam Penyet dan Pes Kari.

"Saya juga ingin melebarkan sayap perniagaan ke serata dunia selain Singapura. Selain mendapat keuntungan saya membantu menyediakan makanan Halal untuk orang Islam di serata dunia," jelasnya.

Tapah Station Cafe ditubuhkan pada tahun 2015 dan sumber inspirasi beliau tidak lain tidak bukan ibunya sendiri Fatimah Ghazali yang juga merupakan seorang usahawan dalam industri makanan dan minuman.

"Saya mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan semasa saya berada di universiti lagi. Pelbagai jenis perniagaan saya cuba seperti jual kosmetik, jual bunga, jual top up dan selepas habis belajar saya mencari pengalaman dengan bekerja dan dari situ saya timba lagi ilmu," ceritanya.

Menganggap dirinya dan peniagaan tidak boleh dipisahkan, Azlinda bertekad akan terus mencari peluang perniagaan yang ada kerana dengan perniagaan beliau dapat memberi nilai dengan memberi peluang pekerjaan kepada orang lain.

--BERNAMA