Adam Lelaki Baik Hati Dan Penyayang - Yuna

Last update: 05/08/2017

KUALA LUMPUR , 5 Ogos (Bernama) -- Selepas kecoh dengan khabar angin mengatakan beliau telah bertunang dengan adik kepada pelakon Asyraff Sinclair beberapa bulan sebelum ini, akhirnya penyanyi antarabangsa Yunalis Zaraai telah selamat menjadi tunang kepada Adam Yousof Mohamad Sinclair hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, majlis pertunangan telah berlangsung di kediaman keluarga Yuna di Shah Alam dan dihadiri oleh keluarga dan rakan-rakan rapat mereka.

Perkenalan Yuna, 30 dan Adam, 32, bermula semasa di set penggambaran iklan yang diarahkan oleh Adam pada tahun 2013 dan perhubungan mereka semakin serius pada penghujung tahun 2015.

Rancangan untuk mengikat tali pertunangan ini dibuat setelah keluarga kedua-dua pihak bertemu muka pada bulan Mac lalu.

“Syukur Alhamdulillah, majlis pertunangan kami berjalan dengan lancar. Majlis kami dihadiri oleh keluarga terdekat dan rakan-rakan karib.

Kami sekeluarga sangat gembira dapat berjumpa dan bermesra dengan seluruh keluarga Adam. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat-peminat yang selalu mendoakan kebahagiaan saya. Berkat doa mereka, hari ini saya selamat bertunang dengan Adam Sinclair,” kata Yuna.

Yuna turut melahirkan kesyukurannya kerana dipertemukan dengan lelaki seperti Adam yang menurutnya sangat peyanyang dan baik hati yang mewarnai hidup beliau dengan senyum dan ketawa.

--BERNAMA