Momen 'Berjiwa' Buruan Mazlan

Last update: 03/08/2017

Oleh Suriani Razali

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Bidang kewartawanan tidak terhad kepada penulisan semata-mata. Penghasilan foto yang berkualiti merupakan pengukuh idea penulisan seorang wartawan, sesuatu yang tidak dapat tidak, perlu disertakan sebagai keterangan visual.

Asas 5W 1H (What, Who, When, Why, Where, How) bagi penjanaan sesebuah keterangan gambar atau berita harus disematkan kemas-kemas di dalam minda supaya hasilnya menjadi perhatian para pembaca.

Berpandukan asas tersebut Jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Mazlan Samion, 40 telah berjaya meraih beberapa anugerah di atas kegigihan beliau dalam melaporkan foto-foto yang kelihatan 'hidup'.

Terbaharu beliau telah memenangi tempat pertama dalam pertandingan Fotografi Antarabangsa anjuran Muzium Kesenian Islam (IAMM) bertemakan 'Kembara Rohani: Budaya dan Warisan Islam di Asia Tenggara' dengan karya bertajuk 'Jalan ke Jannah' yang diumumkan pada 14 Julai lepas.

Foto tersebut dirakam pada tahun 2015 di rumahnya di Bandar Tun Razak ketika mendapat tugasan untuk mendapatkan foto bersempena sambutan Nuzul al-Quran pada tahun itu.

MINAT MENDORONG USAHA

Setiap sesuatu kerja yang kita lakukan kadang kala memang betul-betul adanya minat terhadap kerja tersebut dan akan dilakukan sehabis baik untuk pulangan yang membanggakan.

Begitu juga dengan kerjaya sebagai jurufoto ini. Ketika ditemubual dalam segmen 'Inspirasi Pagi' program NINE11 yang disiarkan secara langsung menerusi Bernama News Channel (BNC) baru-baru ini, Mazlan berkata: "Kita perlu ada passion, minat bukan sahaja untuk bidang kita ini tetapi apa jua bidang.

Kalau kita minat, kita mesti buat yang terbaik.

"Dalam mindset kita, kita akan berusaha untuk membuat sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada orang ramai, masyarakat dan kita akan all-out." Ilmu, menurut Mazlan akan hadir apabila seseorang itu belajar, namun pengalamanlah yang mematangkan individu.

"Pengalaman mengajar saya untuk berdepan dengan subject matter, dan kita lebih bersedia, yang penting kena buat kajian," katanya.

FOTO HARUS REALISTIK

Pematuhan etika ketika bekerja sangat dititikberatkan dalam pelbagai aspek bagi melindungi dan menghormati sensitiviti masyarakat amnya.

Bapa kepada tiga cahayamata ini yang pernah ditugaskan ke Lahad Datu Sabah ketika pencerobohan pengganas di sana berkata, dalam bidang kewartawanan ini, etika sebagai jurufoto juga perlu diikuti.

"Setiap momen yang diambil haruslah realistik. Sebagai seorang wartawan foto, kami diajar untuk tidak 'menipu'. Foto yang dirakam adalah real (sebenar), tidak boleh dibuat-buat atau diulang. Maksudnya selepas mengambil gambar sesuatu subjek tidak perlu mengubahnya dengan menggunakan teknik superimpose atau sebagainya," tambah Mazlan.

Setiap momen yang dirakam akan diabadikan terus mengikut masa kejadian, kelajuan pergerakan subjek dan situasi yang tepat.

"Etika bagi setiap tugasan yang diterima perlu dipraktikkan untuk panduan kita walau di mana jua kita ditugaskan," tambahnya.

BERANI

Menurut Mazlan, sifat berani perlu ada untuk mendapatkan hasil foto yang cantik dan sesuai untuk tatapan umum. Di BERNAMA wartawan foto diibaratkan sebagai 'duta kecil' bagi negara memandangkan foto yang bakal diambil akan menjadi sumber foto bagi media di Malaysia.

Mazlan memberikan satu contoh peristiwa ketika beliau mendapat tugasan berprofil tinggi di Honolulu, Hawaii iaitu Mesyuarat Perkongsian Trans Pasifik (TPP) yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Mesyuarat ini disertai oleh bekas presiden Amerika Syarikat, Barack Obama bersama Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya diarah oleh pengawal peribadinya untuk keluar, ketika itu juga kelihatan Obama akan melintasi setiap ketua kerajaan untuk bersalaman tetapi angle Obama membelakangi saya dan tak bagus. Saya meminta kebenaran daripada pengawal peribadinya untuk mengambil gambar bagi momen tersebut dan mereka benarkan untuk beberapa saat sahaja," kata Mazlan.

Peluang yang ada perlu digunakan sebaik mungkin. Mengenangkan BERNAMA sendiri sudah berhabisan beribuan ringgit untuk menghantar wakil bagi tugasan tersebut saya terus memanggil Presiden Barack Obama tiga kali untuk mendapatkan angle terbaik ketika bersalam dengan PM dan ianya berhasil apabila beliau menoleh ke arah saya.

Tanpa membuang masa dengan satu klik, satu kepuasan yang tak dapat diungkapkan telah terakam. Menurut Mazlan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri terkejut atas keberanian beliau memanggil Obama.

ILMU YANG DIKONGSI

"Sebenarnya sebelum ke tugasan luar negara saya selalu membuat homework. Bagi trip Obama sahaja saya peruntukkan sebulan membuat kajian daripada pelbagai medium.

Alhamdulillah hasil homework tersebut saya berjaya menghasilkan foto yg terbaik dan digunakan di hampir semua muka depan akhbar utama di Malaysia ketika itu," tambah Mazlan lagi.

Bertugas di BERNAMA sejak 13 tahun lepas, Mazlan turut aktif berpersatuan yang mana beliau bertanggungjawab sebagai Exco Kebajikan di Persatuan Jurufoto Akhbar Malaysia (MPPA) bagi mengangkat martabat dan kebajikan jurufoto akhbar di Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

Mazlan turut melahirkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada Penolong Ketua Penyunting Bahasa Melayu Perkhidmatan Berita Dalam Negeri BERNAMA Nur-ul Afida Kamaludin kerana beliau merupakan antara orang yang mula-mula mengajarnya bagaimana menghasilkan kapsyen (keterangan foto) dengan baik dan tersusun.

Beberapa kejayaan telah dilakar oleh Mazlan sehingga kini. Antara pencapaian yang pernah diperoleh ialah Anugerah Hadiah Kewartawanan MPI-PETRONAS 2013, Kewartawanan Esei Foto Cemerlang, Jurugambar Sukan Terbaik menerusi Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-KBS 2010 dan banyak lagi.

Selain itu, ilmu seni fotografi ini tidak hanya disimpan untuk kegunaan sendiri sahaja tetapi beliau berpeluang mencurahkan segala teknik-teknik fotografi kepada pelajar-pelajar jurusan kewartawanan di Universiti Teknologi MARA, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Selangor ketika beliau menjadi tenaga pengajar sambilan di institusi tersebut.

"Ilmu yang ditimba takkan habis, tetapi apabila dikongsikan bersama kebaikan dan pahala akan berpanjangan sehingga ke liang lahad," kata Mazlan.

--BERNAMA