Red Box, #iamFAITHMEN Dan Awang Brand 'Raikan Raya' Penghuni Mesra Home

Last update: 13/07/2017

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Red Box dan Green Box tahun ini sekali lagi melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka dengan penyerahan derma kepada pihak #iAMFAITHMEN - sebuah badan sukarela (NGO).

Majlis ini diadakan sebagai penutup kepada program amal "Raikan Raya - Hantar Kad Ucapan Untuk Yang Tersayang Sambil Menderma" yang dijayakan bersama Awang Brand sejak 15 Mei yang lalu.

"Ia merupakan program kedua kami bersama #iAMFAITHMEN. Jika tahun lepas, kami memberi tumpuan kepada kanak-kanak, fokus tahun ini lebih kepada membantu institusi warga emas,” kata Ketua Pegawai Operasi, Kumpulan Karaoke Red Box, Michael Yong.

Tahun ini, Red Box Karaoke mengumpul sebanyak RM15,252 dengan kerjasama Faizal Tahir dan penaja utama Awang Brand, untuk diserahkan kepada #iAMFAITHMEN".

Sebanyak 5,084 poskad "Raikan Raya - Hantar Kad Ucapan Untuk Yang Tersayang Sambil Menderma" telah terjual di semua rangkaian Red Box, Green Box dan Red Box PLUS Karaoke sehingga 24 Jun yang lalu.

Menariknya, visual atau gambar setiap poskad adalah hasil idea dan kreativiti Faizal Tahir sendiri yang setiap satunya menggambarkan mesej yang ingin disampaikan oleh beliau.

Menurut Yong, hasil jualan poskad yang berharga RM5 itu, RM3 disumbangkan kepada #iAMFAITHMEN.

Selebihnya digunakan bagi menampung kos pentadbiran termasuklah penghantaran poskad oleh pengirim (pembeli) kepada penerima bukan sahaja di dalam negara malah ke seluruh Asia, Australia, Dubai, United Kingdom, New Zealand, Taiwan dan Cina.

"Semoga ianya sedikit sebanyak membantu meringankan usaha #iAMFAITHMEN dalam membela nasib warga emas di seluruh Malaysia. Dan hari ini, kami sepakat memilih Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra (Mesra Home), sebagai salah sebuah institusi yang bakal dibela oleh dana kebajikan #iAMFAITHMEN itu nanti", ujarnya.

Majlis yang diadakan di Pusat Jagaan Warga Emas (Muslimah) Sri Mesra, Ampang ini dihadiri oleh pengasas dan pentadbir rumah itu sendiri, Razali Mohd dan isterinya Faezah Ali bersama 15 warga emas yang menghuni rumah tersebut.

Majlis diceriakan lagi dengan kehadiran pengasas #iAMFAITHMEN, Faizal Tahir yang tidak ketinggalan memasak juadah raya, sambil beramah mesra bersama warga emas rumah terbabit.

Bertindak sebagai penaja utama dalam menyediakan hidangan, majlis turut diwakili oleh Tuan Sheikh Ahmad Shukor, Pengarah Urusan Awang Brand, sebuah syarikat atau pengeluar pes masakan tradisional.

--BERNAMA