Pretty Suci Dapat Sambutan Menggalakkan Dari Luar Negara

Last update: 14/06/2017

Oleh Muhammad Zaini Mohd Zain

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Prettysuci.com, portal pertama kecantikan dan penjagaan kulit khusus untuk produk halal menerima sambutan yang menggalakkan dari dalam dan luar negara sejak dilancarkan tahun lalu.

"Kami menerima banyak pesanan dari Singapura, Brunei dan juga Eropah. InsyaAllah awal bulan Julai, kami akan mula 'shipping' ke negara Eropah seperti United Kingdom dan Jerman," kata usahanita Tunku Datuk Indera Kaiyisah pada majlis berbuka puasa bersama media baru-baru ini.

Beliau yang mengilhamkan Pretty Suci bersama usahanita Natasha Mohammad Ozeir berkata, permintaan yang meningkat terhadap barangan kecantikan dan penjagaan kulit berkuati adalah berikutan perkembangan pasaran halal global yang berkembang pesat.

Perkataan ‘halal´ bermaksud ‘dibenarkan´ dalam Bahasa Arab - merujuk kepada perbuatan harian termasuk beberapa barangan (makanan dan bukan makanan) yang bebas daripada diperbuat oleh haiwan dan bahan terlarang seperti alkohol.

"Kami sangat teruja menjadi sebahagian dari inisiatif Malaysia dalam memajukan industri kecantikan dengan mengetengahkan barangan tempatan yang ada di Malaysia," jelas Tunku Kaiyisah.

JENAMA HALAL

Beliau berkata teras utama mengetengahkan jenama-jenama halal turut menarik minat pembeli bukan Islam di serata dunia.

"Matlamat kami memberi perhatian kepada jenama ini agar setanding dengan jenama yang ada di luar sana.

Melalui Pretty Suci, kami juga mahu pengguna tahu bahawa produk halal ini dapat digunakan oleh setiap lapisan masyarakat kerana nilai estetiknya dan dari sudut pandangan yang lebih moden," kata Natasha.

Pretty Suci berharap dapat menyediakan pilihan yang hebat, produk berkualiti dengan menghimpunkan pelbagai jenama dari luar seperti Make Over dan Wardah (Indonesia), Naveen (Taiwan), Amara Halal Cosmetics dan Tom´s Of Maine (Amerika Syarikat), Kester Black (Australia), Talent Cosmetics (Korea) dan Prettysuci, So.Lek, Naelofa, Marcella + Co, Sorfina Hal dan Imaan Suci (Malaysia).

Sehingga kini sambutan hangat diterima bagi produk penjagaan kulit, mascara, gincu bibir, bedak asas, pelembab serta pengilat kuku dan "kesemua produk yang ditawarkan ini dijamin halal dan tidak merbahaya."

"Di samping itu, kebangkitan barangan kecantikan dengan unsur organik, tumbuh-tumbuhan dan cruelty-free menunjukkan bahawa terdapat kesedaran yang tinggi dalam kalangan pengguna yang mahukan maklumat berkenaan isi kandungan sesuatu barangan yang digunakan dan produk halal merupakan pilihan terbaik buat mereka," katanya.

RANGKAIAN LIP-CREAM

Kisah Tunku Kaiyisah dan Natasha bermula dengan rangkaian lip-cream iaitu Cek Mek Molek dan Minah Jambu dan kini, Pretty Suci telah berkolaborasi dengan pelbagai syarikat dalam dan luar negara.

Tidak terkecuali, ratu Jazz negara Datuk Sheila Majid turut disunting Pretty Suci mengeluarkan produk lip-creme terbaharu edisi terhad iaitu Boneka. Selain itu, antara produk yang melibatkan artis termasuk Neelofa, Datuk Rossa dan ramai lagi.

Menurut Tunku Kaiyisah dan Natasha, mereka berharap dapat berkolaborasi dengan lebih banyak artis dan pihak yang berpengaruh di Malaysia dan luar negara di masa hadapan sebagai strategi pemasaran bagi menaikkan lagi nama Prettysuci.com.

Menjelang Aidilfitri, Pretty Suci turut tidak ketinggalan memeriahkan suasana dengan menyediakan set hamper Hari Raya termasuk selendang eksklusif Pretty Suci, lip-cream Boneka, Riri Kaya Muar dan banyak lagi berharga RM225.00 satu set.

Untuk maklumat lanjut, layari www.prettysuci.com.

-- BERNAMA