Ramadan Musim Sejuk Di Bumi Koala

Last update: 09/06/2017

Oleh Nor Azlina Sani

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Berpuasa di perantauan banyak perbezaan dan cabaran yang perlu dilalui seperti cuaca sejuk, berpuasa dalam tempoh yang panjang dan jauh dari keluarga.

Seperti yang umum sedia maklum, sememangnya bukan mudah berpuasa di negara orang seperti di Australia ini kerana rata-rata penduduknya bukan beragama Islam dan semestinya kemeriahan Ramadan dan Syawal tidak dirasai di negara tersebut.

Penulis berpeluang menyingkap kisah seorang pelajar Rafidah Ismail, 30 di negara kanggaru ini yang kini sedang menyambung pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang 'Architecture and Construction Management' di Deakin University yang terletak di Victoria.

Beliau menetap di Whittington iaitu kira-kira satu jam 20 minit jauhnya dari Melbourne, bersama suaminya, Ahmad Azhari Abdul Rahman, 28 dan anak perempuannya Nur Eryna Sofia Ahmad Azhari yang berusia 9 bulan.

Rafidah kini sibuk menyiapkan kajiannya yang bertajuk 'Development of A Health and Safety Training and Education Framework For Foreign Workers In Malaysian Construction Industry' dan masih di peringkat pertengahan dan dijangka siap pada tahun hadapan.

BAHASA INGGERIS PERTENGAHAN

Rutin harian Rafidah tidak seperti pelajar lain kerana tidak mempunyai jadual kuliah yang padat dan boleh hadir ke universiti mengikut waktunya yang fleksibel iaitu bermula jam 9.00 pagi hingga 4 petang.

Beliau tidak lokek berkongsi pengalaman kali pertama menjejak kaki di negara orang kerana tidak semua orang berpeluang merasai pengalaman belajar di luar negara.

Rafidah memberitahu pada mulanya beliau mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dengan pelajar tempatan kerana tahap bahasa Inggerisnya hanya di peringkat pertengahan.

"Ini merupakan cabaran peringkat awal iaitu kesukaran berbahasa Inggeris kerana pelajar Australia ini mempunyai loghat dalam bahasa Inggeris yang dituturkan menyebabkan saya sukar untuk memahaminya," katanya.

Dari segi pembelajaran beliau tidak mengalami masalah kerana pelajar Malaysia sentiasa membantunya.

RAMADAN MUSIM SEJUK

Ditanya mengenai kejutan budaya, Rafidah memaklumkan yang kehidupan di Malaysia dan Australia tidak banyak perbezaan dan beliau dan keluarga menjalani kehidupan seperti biasa cuma masih belum biasa ketika itu berhadapan musim sejuk sehingga suhu mencecah 0 hingga -0 darjah celcius hingga menyebabkan dirinya demam.

Selain itu, orang tempatan juga mudah bergaul mesra dan tidak mengamalkan rasisme kepada orang Islam yang memakai hijab.

Berbicara mengenai rutin semasa Ramadan di sana, Rafidah berkata ini merupakan tahun ketiga beliau menyambutnya di Australia dan pada tahun ini Ramadan jatuh pada musim sejuk.

"Umat islam di sini berpuasa selama 11 jam pada musim sejuk bermula 5.50 pagi hingga 5 petang dan perbezaan waktu hanya 2 jam sahaja dengan waktu Malaysia.

"Seronok sebenarnya berpuasa pada musim sejuk kerana tidak terlalu berasa lapar dan letih sehingga tidak sedar waktu berbuka hampir tiba," katanya.

TRADISI BERBUKA POTLUCK

Pastinya kemeriahan Ramadan kurang dirasai di sini berbanding di Malaysia, kata Rafidah.

Selama berada di Australia ini beliau tidak pernah berbuka puasa di kedutaan Malaysia kerana jarak perjalanan yang jauh tetapi komuniti pelajar di sini ada membuat majlis berbuka puasa sesama pelajar.

Juadah yang dihidangkan mestilah kuih tradisonal dan masakan Melayu untuk menghilangkan rasa rindu pada waktu berbuka puasa di kampung.

Rata-rata pelajar di sini akan membawa 'potluck' seperti masak lemak cili api, ayam masak kari, rendang, karipap, kuih lapis, ondeh-ondeh dan sebagainya, katanya.

"Kami cuba hidupkan suasana yang sama seperti di Malaysia jadi usai berbuka para pelajar akan solat terawih secara berjemaah," katanya.

TETAP TERLIUR

Kebiasaannya, Rafidah hanya bersolat terawih di rumah secara berjemaah bersama suaminya kerana jarak masjid yang jauh.

Menurut Rafidah lagi cabaran sebenar pelajar beragama Islam adalah apabila penduduk tempatan tidak mengetahui tentang bulan Ramadan dan mereka yang berpuasa ada masanya terliur melihat penduduk di sana menjamu selera di hadapan mata.

Ditanya tentang juadah berbuka, Rafidah berkata: "Whittington hanyalah pekan kecil dan keistimewaan di sini bekalan makanan senang diperolehi dengan harganya sangat murah.

"Kurma juga banyak terdapat di pasaraya dan sekiranya tiada kurma pelajar Malaysia boleh menggantikannya dengan buah tin atau anggur yang mudah didapati sini."

Malahan, sayur-sayuran dan buah-buahan yang segar mudah diperolehi dengan harga yang murah dan memudahkan pelajar di sini untuk memasak sendiri di rumah sebagai langkah penjimatan.

SYAWAL DI BUMI KANGGARU

Sepanjang tiga tahun di negara orang Rafidah berpeluang beraya hanya sekali di perantauan kerana keluarganya berkemampuan untuk membawanya pulang meraikan hari raya di Malaysia.

Ada juga pelajar di sini ke kuliah seperti biasa pada hari raya pertama dan meraikan Syawal dengan makan coklat sebagai tanda kemenangan setelah berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan.

Rafidah memberitahu sambutan hari raya di Whittington tidak semeriah mana memandangkan komuniti masyarakat Melayu beragama Islam tidak ramai.

"Selepas solat hari raya di Masjid Geelong (Geelong Mosque) kami akan berkumpul dan makan bersama.

"Pihak masjid menyediakan masakan arab seperti nasi arab, pavlova, sosej dan sebagainya.

Tiada masakan tradisonal seperti rendang, ketupat, lemang dan biskut raya.

Malahan, lagu raya juga tidak boleh dipasang secara kuat kerana penduduk di kawasan perumahan di Whittington mengamalkan cara hidup 'privacy' dan tidak boleh berbuat bising.

Rafidah turut menyatakan hasratnya yang tidak sabar untuk menghabiskan pengajiannya pada tahun hadapan untuk pulang ke Malaysia.

--BERNAMA