Bienda Bakal Tampil Single Terbaharu Ciptaan DJ Fuzz

Oleh Muhammad Zaini Zain

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Nor Razlinda Razli atau lebih dikenali dengan nama Bienda bakal tampil dengan single terbaharu ciptaan DJ Fuzz tidak lama lagi.

Bagaimanapun, anak penyanyi dangdut Sheeda itu berkata, terlalu awal untuk mengulas lanjut mengenai single tersebut tetapi menambah, ia dapat mengubat rindu peminat yang selama ini menyokongnya.

Mengenai penyingkiran beliau dari konsert minggu kedua Gema Gegar Vaganza (GGV), Bienda berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan terakhirnya yang membawakan lagu Sejati nyanyian asal Faizal Tahir tetapi reda keputusan pihak juri.

"Saya bersetuju untuk menyertai program realiti tv ini pada mulanya kerana mahu membuktikan kepada orang ramai terutamanya 'Bienda Lovers' bahawa saya masih relevan dalam industri dan juga kerana minat yang sangat dalam untuk meneruskan kerjaya sebagai penyanyi," katanya kepada Bernama Youth.

Penyanyi yang popular dengan lagu Penantian itu menjadi peserta pertama tersingkir dari program realiti GGV itu yang disiarkan secara langsung melalui Astro Oasis dan Maya HD setiap Sabtu.

Bienda, 32, mendapat markah paling rendah daripada juri profesional yang mengadili para peserta pada konsert minggu kedua yang bertemakan Dalam Lagu Ada Makna.

PEMARKAHAN DARI BARISAN JURI

GGV menampilkan Farihin Abdul Fattah dan pelakon popular Indonesia, Oki Setiana Dewi sebagai juri tetap, manakala Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah sebagai juri jemputan. Kesemua peserta bertanding diadili 100 peratus menerusi pemarkahan dari barisan juri.

Mengulas mengenai saat beliau terlupa lirik semasa persembahan, Bienda merasakan itu satu cabaran sebagai penyanyi kerana harus mengawal kekuatan emosi dan meneruskan persembahan sehingga akhir.

"Saya sudah berusaha yang terbaik dan saya bukanlah seorang yang berani untuk memasuki sebarang pertandingan selepas bergelar penyanyi, namun, ini merupakan cabaran dan saya percaya semua rezeki itu terletak pada Allah S.W.T.," jelas Bienda.

Menurut Bienda lagi, selepas ini beliau mahu fokus pada single terbaharu beliau hasil ciptaan dari Dj Fuzz.

-- BERNAMA