Salam Perkenalan Daripada Prime Domestic

Oleh Intan Suhana Che Omar

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Kumpulan Prime Domestic yang dianggotai oleh rata-ratanya pemuzik lagenda mengumumkan yang mereka bakal mengadakan sebuah 'showcase' pada 2 April nanti.

Kumpulan rock yang yang ditubuhkan oleh dua figura muzik terkenal iaitu Joe Wings dan Hillary Ang turut dianggotai oleh Aweera, Gie dan Ainul yang juga merupakan ahli muzik berpengalaman luas di dalam industri hiburan tanah air.

Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir berkata penubuhan Prime Domestic ini ialah untuk menyuntik sedikit kelainan serta mewarnai industri muzik tanah air dan bukanlah untuk bersaing dengan mana- mana kumpulan sedia ada.

"Kelainan muzik kami saya tidak boleh ungkapkan melalui kata- kata melainkan anda harus mendengarkannya sendiri melalui lagu-lagu kami," katanya lagi.

Menyentuh mengenai pemilihan Aweera sebagai vokalis, Joe berkata Aweera mempunyai karakter seorang penyanyi yang mereka perlukan.

KOMITMEN 200 PERATUS

"Walaupun Aweera mewakili generasi baharu tetapi dia lebih ke arah muzik 90-an dan mempunyai bakat di situ."

"Dari awal lagi saya memang sudah nampak Aweera yang paling sesuai untuk ini," tambahnya lagi.

Bagi Aweera pula, beliau berkata akan memberikan sepenuh komitmen kepada kumpulan barunya ini walaupun tetap menjalankan aktiviti solo.

"Aktiviti solo masih ada tetapi buat masa sekarang saya akan memberikan 200 peratus komitmen kepada kumpulan," ujarnya.

Showcase pertama mereka, yang dianggap sebagai showcase perkenalan akan diadakan di House@GTower yang berkonsepkan Sunday Nite Live.

JUALAN SINGLE

Menurut Joe lagi, Prime Domestic juga akan turut melancarkan single pertama mereka sebagai salam perkenalan kepada para peminat muzik tanah air.

Tiket boleh diperolehi terus di House@GTower ataupun secara online di http://billplz.com/pdshowcase.

-- BERNAMA