Eyza Bahra Menggabungkan Single Dalam "Suara"

Last update: 20/03/2017

Oleh Intan Suhana Che Omar

PETALING JAYA, 20 Mac (Bernama) -- Penyanyi kelahiran Sabah, Eyza Bahra telah melancarkan album solo sulungnya, "Suara" bertempat di Neway Karaoke One Utama, Damansara baru- baru ini.

Album yang berkonsepkan pop, reggae, balada dan klasik ini merupakan kerjasama antara syarikat rakaman Eyza di bawah naungan Mixology Music dan Life Records Sdn. Bhd.

Pemilihan nama "Suara" sebagai judul album adalah kerana perkataan suara itu sendiri yang menjelaskan kebebasan untuk setiap penghasilan bunyi.

Pengurus Besar Life Records, Osman Ariffin berkata pembikinan album kompilasi ini terhasil daripada gabungan single Eyza Bahra yang telah diedarkan lebih dua tahun lalu.

"Dengan keadaan sekarang, sangat jarang artis lama atau baharu yang mahu menerbitkan album, jadi saya tabik kepada Mixology Music dan tahniah kepada Eyza Bahra, lahirnya sebuah album," katanya.

KELUAR DARI ZON SELESA

Pembikinan album "Suara" ini menyaksikan Eyza melangkah keluar daripada zon selesa untuk menyerlahkan lagi bakatnya.

"Antara cabaran yang saya hadapi ialah pemilihan konsep dan juga penulisan lirik yang sangat mencabar," ulasnya.

"Suara" mengandungi lapan buah lagu yang diterbitkan oleh DJ Fuzz, iaitu Penaung Mixology Music dan terdapat empat buah lagu yang ditulis sendiri oleh Eyza Bahra.

Terdahulu, Eyza Bahra merupakan vokalis kumpulan Salamusik sebelum mengambil keputusan untuk bergerak secara solo di dalam bidang nyanyian.

-- BERNAMA