Wings & Superfriends Memperjuangkan Nasib Penggiat Seni Tanah Air

Oleh Shukri Azami

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Bermula 6 sehingga 9 April ini, para peminat kumpulan rock Wings bergandingan dengan Superfriends bakal dihiburkan selama dua jam setiap malam dalam Konsert Wings & Superfriends - Belenggu Irama.

Konsert yang berkonsepkan memperjuang nasib para insan seni tanah air ini bertujuan mendidik masyarakat untuk berhibur sambil menderma.

Menurut pemilik nama Datuk Ahmad Azhar Bin Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Awie, nasib para artis Malaysia tidak seharusnya malang seperti yang telah berlaku selama ini kerana para artis adalah golongan yang amat berpengaruh.

"Dalam konsert ini kita akan mainkan sedikit monolog dan ada sedikit drama supaya penyampaian itu sampai ke hati penonton, kalau kita asyik menyanyi sahaja mungkin penyampaian itu akan disalah tafsir," katanya semasa sidang media baru-baru ini.

Datuk Awie sebagai peneraju utama Awie Entertainment Sdn Bhd berharap gabungan dengan persatuan-persatuan seperti Karyawan, Seniman, Yayasan Artis 1Malaysia, Music Author Copyright Protection (MACP) dan Recording Industry Association (RIM) dapat memperbaiki taraf anak-anak seni tanah air.

YAZID SEARCH

Ikon konsert ini ialah Yazid daripada kumpulan muzik rock Search yang dikenali ramai oleh peminat muzik tanah air.

Setelah disahkan menghidap sakit buah pinggang, mata pencarian Yazid sebagai insan seni semakin terhad.

Inisiatif ini diambil oleh Awie dan rakan-rakan untuk membantu Yazid dan insane-insan seni yang lain kerana mereka tidak mahu anak-anak seni di negara ini hidup dalam kesempitan.

Antara artis yang akan memeriahkan konsert ini termasuklah Datuk M.Nasir, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan, Beto Kusyairy dan Maya Karin.

Harga tiket bermula daripada RM80 sehingga RM350 boleh dibeli melalui atas talian di laman web Redtix, www.airasiaredtix.com ataupun di kaunter pembelian tiket di Istana Budaya.

Juga boleh lawati Facebook Sayap-Sayap Wings atau www.sayap2wings.com.

-- BERNAMA