Nenaslicious Enterprise Lahir Daripada Program Keusahawanan BizSiswa

Last update: 09/12/2016

Oleh Murni Nasri

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- BizSiswa merupakan satu program keusahawanan yang diterajui oleh Johor Corporation (JCorp) sebagai salah satu usaha Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat tersebut.

Di bawah program ini, para pelajar di beberapa buah Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Universiti Awam (UA) dibimbing untuk menubuhkan syarikat mereka sendiri setelah melakukan pemilihan bisnes yang mahu dijalankan.

Menurut Noor Ruzilawati Rudin, Pengurus Kanan Jabatan Bisnes Amal Johor Corporation yang ditemubual baru-baru ini, setakat ini, dua buah IPT dan sebuah UA mengambil bahagian di dalam program BizSiswa iaitu KFCH International College (KFCHIC) Johor Bharu, Kolej Universiti KPJ dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.

Para pelajar KFCHIC telah menubuhkan sebuah syarikat, Nenaslicious Enterprise bagi memasarkan produk minuman adunan ais hasilan mereka sendiri yang diberi nama Nenaslicious dan diterajui oleh Muhammad Nasrullah Md Zamry, 19, selaku Ketua Pegawai Eksekutifnya.

KURSUS KEUSAHAWANAN

Sebuah kursus keusahawanan tiga hari yang dikendalikan secara bersama oleh JCorp dan KFCHIC merupakan permulaan kepada Nenaslicious Enterprise.

"Kami telah digalakkan oleh para pensyarah untuk menyertai program BizSiswa ini dan setelah menyertai kursus keusahawanan, saya dan ahli-ahli syarikat yang lain menubuhkan Nenaslicious Enterprise," kata Muhammad Nasrullah ketika ditemubual oleh Lifestyle and Youth baru-baru ini.

Ahli-ahli syarikat yang lain merupakan rakan-rakan sekuliah Muhammad Nasrullah juga yang mengikuti kursus Diploma Kulinari di KFCHIC iaitu Khumairah Syabani Anuar, Mohd Hanafi Uyop dan Muhammad Danial Hafizuddin Muhammad Hisyan.

Komitmen dan minat, menurut Muhammad Nasrullah, merupakann dua syarat utama yang menjadi penentu kepada pemilihan ahli-ahli syarikat yang lain.

"Kami mengambil peluang yang ditawarkan dan mengeluarkan wang sendiri untuk modal kerana kami sedia maklum yang peluang dari JCorp dan KFCHIC ini akhirnya akan memberi manfaat kepada kami," tambah Muhammad Nasrullah yang sedang mengikuti pengajian diploma dalam bidang Pengurusan Hotel di KFCHIC.

PENGALAMAN BERHARGA

Nenaslicious Enterprise memulakan langkah pertama berjualan pada tahun 2015 semasa karnival yang diadakan bersempena Kembara Mahkota Johor dan pengalaman kedua pada tahun yang sama semasa sambutan Hari Bestari anjuran JCorp yang diadakan di Galleria Kotaraya.

"Sambutan daripada para pengunjung untuk kedua-dua acara sangat menggalakkan. Semasa sambutan Hari Bestari, kami banyak mendapat maklumbalas daripada golongan pelajar yang sememangya amat sukakan minuman adunan ais menggunakan nenas berkualiti tinggi seperti ini," kata Muhammad Nasrullah.

Nenaslicious Enterprise mementingkan kualiti di dalam penghasilan produk mereka justeru mereka sepakat menggunakan nenas gred tinggi MD2 jenama Melita.

Muhammad Nasrullah mengakui yang peluang pekerjaan untuk graduan-graduan baharu semakin mengecil dan beliau melihat pendedahan terhadap bidang perniagaan yang diberikan oleh program BizSiswa ini sebagai sesuatu yang sangat berguna kepada mereka.

"Untuk kami yang masih muda ini adalah pendedahan awal yang amat berharga terutama di dalam bidang perniagaan," tambah Muhammad Nasrullah.

BIMBINGAN PENSYARAH

Selain panduan yang diterima daripada JCorp, ahli-ahli syarikat Nenaslicious Enterprise juga mendapat bimbingan dan sokongan padu daripada para pensyarah mereka di KFCHIC terutamanya pensyarah pembimbing mereka iaitu Nurul Nadia Ahmad Teridi dan Mohamad Aqram Othman.

Operasi Nenaslicious Enterprise sememangnya banyak tunjuk ajar daripada para pensyarah yang tidak putus-putus memberikan buah fikiran, selain sokongan moral.

Menurut Muhammad Nasrullah mereka sering bertemu para pensyarah bimbingan bagi menetapkan produk yang ingin dipasarkan dan melakukan kajian dan pembangunan bagi memperkenalkan lagi Nenaslicious kepada lebih ramai khalayak.

Semua aktiviti Nenaslicious Enterprise boleh diperolehi di Facebook mereka Nenaslicious Enterprise dan juga Twitter Nenaslicious JB.

--BERNAMA