Teater Mak Cun D'Walei Tampil Pelakon Kacak Pakistan

Last update: 18/10/2016

Oleh Nurulhuda Mansor

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Pengarah Erma Fatima bakal menampilkan pelakon kacak dari Pakistan, Saim Ali, melalui pementasan teater muzikal bertema Bollywood, Mak Cun D'Walei bulan depan.

Beliau tidak menafikan bahawa penampilan Saim yang juga model terkenal itu dalam teater Mak Cun D'Walei adalah kerana nilai komersial yang ada padanya.

"Jujur saya beritahu Saim diambil kerana dia kacak dan saya fikir dia akan menarik perhatian orang ramai untuk datang menonton," ujar Erma pada sidang media pelancaran teater berkenaan di Istana Budaya, Jumaat lalu.

Mak Cun D'Walei bakal menemui penonton di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 4 hingga 13 Nov depan.

"Saim ada pakej lengkap kerana dia bukan sahaja kacak tetapi lakonannya juga baik dan mempunyai bakat dalam tarian seperti yang saya mahukan," tambah penulis skrip, pengarah dan juga pelakon teater Mak Cun itu.

BERJIWA BESAR

"D'Walei dipilih kali ini kerana saya tahu penonton sukakan Bollywood dan ramai yang menonton Dilwale, jadi ini mungkin dapat menjadi tarikan untuk orang ramai menonton Mak Cun D'Walei.

Saya janjikan penonton akan merasai seolah-olah berada di India," kata Erma.

Erma yang juga pencetus idea teater tersebut berkata, D'Walei bermaksud berjiwa besar sesuai dengan sifat Mak Cun yang sentiasa positif dalam usaha membawa jenama produknya ke arena global.

Pementasan kali ini terdapat banyak elemen kejutan di samping aksi-aksi lucu yang pastinya menghiburkan penonton, katanya.

Selain Erma, pementasan teater ini mengekalkan barisan pelakon yang sama seperti Umie Aida, Datuk Rahim Razali, Balkisyh Semundur Khan dan turut dimeriahkan dengan penampilan Abam Bocey, Amy Search, Fathia Latiff dan Nadia Brian serta pelakon cilik, Haidar.

Tiket berharga RM36, RM76, RM86, RM106 dan RM156 dan RM256 (tidak termasuk GST) boleh didapati dengan menghubungi www.airasiaredtix.com melalui 25 Oktober.

-- BERNAMA