'Lara Aishah' Adaptasi Telenovela Popular Mexico 'La Loba'

Last update: 30/08/2016

Oleh Muhammad Zaini Mohd Zin

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Kisah cinta adaptasi dari siri telenovela popular Mexico 'La Loba' kini diangkat dalam bentuk drama bersiri 'Lara Aishah'.

Drama bersiri arahan Riza Baharudin ini ditayangkan menerusi saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135) setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang.

"Kami cukup berbesar hati dengan kejayaan drama Memori Cinta Suraya yang melakar sejarah membanggakan apabila menjadi satu-satunya drama bersiri tempatan yang menembusi pasaran antarabangsa di tiga buah negara setakat ini iaitu Indonesia, Singapura dan Kazakhstan," kata Pengurus Saluran Astro Prima Farah Zainul semasa majlis pelancaran Lara Aishah baru-baru ini.

Menurut Farah lagi, kekuatan sesebuah drama itu diukur bukan sahaja berdasarkan kualiti produksi bermutu tinggi serta garapan jalan cerita yang kemas dan padat tetapi harus juga disokong menerusi watak-watak yang membuatkan penonton terkesan dengan mainan emosi yang mendalam.

Selain itu, drama 100 episod ini turut menyediakan sarikata Bahasa Inggeris bagi memudahkan para penonton yang tidak fasih berbahasa Melayu untuk turut sama menonton dan memahami drama lakonan Fasha Sandha dan Nazim Othman ini.

'Dirgahayu' merupakan lagu runut bunyi untuk 'Lara Aishah' merupakan dendangan istimewa Datuk Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir.

Selain Fasha dan Nazim, Lara Aishah turut menampilkan lakonan mantap pelakon hebat tanah air seperti Dian P Ramlee sebagai Cik Puan Marina, Datuk Eizlan Yusuf sebagai Datuk Nazri, Jasmin Hamid sebagai Zurin dan ramai lagi.

-- BERNAMA